Tahukah anda?
Sekadar berkongsi
Tahukah anda?
Undang-undang membenarkan hak mempertahankan diri daripada dirogol dengan menggunakan kekerasan ke atas penyerang (perogol) sehingga boleh menyebabkan luka parah atau kematian ke atasnya.
Gaya Muslimah
IMEJ bertudung gaya paling popular ketika ini. Ini kerana masyarakat kini lebih berani untuk bangkit bergaya seiring dengan pembangunan negara yang pesat. Persoalannya adakah stail yang dibawa bertepatan ataupun sekadar menjadi mangsa fesyen.
Fesyen Muslimah dikategorikan di dalam kelompok gaya tersendiri dan ia berbeza dengan fesyen anggun sopan yang lebih merujuk kepada gaya yang sering digayakan Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.
Gaya Muslimah memperuntukkan seseorang itu harus mengetahui syarat berpakaian Muslimah seperti pemilihan warna yang tidak terlalu menonjol, silhouette (bayangan) tidak mengikut bentuk badan, fabrik tidak jarang dan cara bertudung dengan betul. Ini supaya seseorang itu tidak terkeluar daripada landasan fesyen Muslimah.
Gaya bertepatan adalah pemakaian kaftan dengan pemilihan warna tanah ataupun biru laut. Selain itu, kaftan paras lutut boleh digayakan bersama seluar palazo, manakala pemilihan fabrik jarang seperti chiffon dan georgette boleh dipakai tetapi mesti berlapik fabrik lain, sebagai contoh, fabrik satin.
Untuk nampak berani dan terampil, seseorang itu boleh menggunakan fabrik bermotif sebagai contoh corak ‘gingham’ dan geometrik yang menjadi trend corak terkini dalam persada fesyen antarabangsa.
Pemilihan material tudung boleh disesuaikan mengikut acara dihadiri. Penggunaan fabrik memberi tampak formal, ringkas serta selesa. Selain itu, tudung fabrik memberi banyak dijual di pasaran dan ia popular pada ketika ini.
Padanan aksesori bersesuaian dengan gaya Muslimah amat penting di dalam membentuk sesuatu gaya. Mereka yang bertudung haruslah berwaspada dan bijak dalam memilih aksesori supaya ia tidak nampak sarat.
Kepala Anak Cedera Jika Dibuai
Doktor,
Saya ada satu soalan ingin bertanyakan doktor. Anak yang kerap tidur buai, adakah ia elok untuk otaknya atau tidak?
Saya mempunyai seorang anak yang kini berusia dua tahun. Susah mahu menidurkannya. Jadi, setiap kali nak tidur, saya akan mengayunkan dia di dalam buai dahulu, baru boleh tidur.
Tidak kira siang atau malam, saya akan menggunakan buai untuk menidurkan anak saya itu. Selagi tak masuk dalam buai, dia tak nak tidur. Saya akan henjut buai dia dari setengah hingga satu jam, baru dia tidur.
Soalan saya doktor, adakah otak anak saya akan bergegar semasa saya mengayunkannya. Adakah memberikan kesan apa-apa kepadanya setiap kali saya membuainya dalam masa yang lama? Masalah ini amat merisaukan saya kerana saya bimbang, dia akan mengalami masalah dalaman otak.
Seperkara lagi doktor, anak saya apabila hendakkan sesuatu, dia suka menghantuk-hantukka n kepalanya ke lantai atau dinding. Sudah banyak kali dia menangis kerana perbuatannya itu.
Dia juga sangat aktif sehingga sekarang. Kadang-kadang, tingkah lakunya sukar dikawal, nak kita ikut cakap dia saja. Kalau tak ikut, mulalah anak saya itu mengamuk. Runsing saya memikirkannya doktor.
– ANITA
Anita,
Pernahkah puan mendengar lagu mendodoikan anak atau lullaby Inggeris Rock-a bye-baby yang berbunyi seperti berikut “When the bough breaks, the cradle will fall, down will come baby, cradle and all?”
Lagu ini menceritakan bagaimana buai itu patah dan jatuh ke bawah membawa bersamanya bayi sekali. Sememangnya tiada tempat yang lebih selamat untuk menidurkan bayi selain dari baby cot.
Buaian boleh menjadi satu punca kepada kecederaan kepala bayi dan boleh mengakibatkan kerosakan pada otak bayi.
Penggunaan buai untuk menidurkan bayi boleh mengakibatkan pendarahan otak atau subdural haemorrhage.
Hakikatnya, kebanyakan kes pendarahan otak subdural yang bukan melibatkan kes penderaan boleh dikaitkan dengan penggunaan buai.
Otak bayi sebenarnya terapung dalam tengkorak dan jika bayi digerakkan dengan kuat, otak akan bergerak pada hala yang bertentangan dengan tengkorak.
Akibatnya, saluran darah yang bersambung pada permukaan otak ke tengkorak pecah menghasilkan pendarahan otak subdural.
Henjutan buai yang perlahan-lahan itu tidak berbahaya tetapi pergerakan melantun buai dengan springnya menghasilkan pergerakan atas bawah seolah-olah seperti menggoyang bayi dalam tangan dengan kuat, menghasilkan kecederaan yang sama.
Hayunan buai juga boleh mengakibatkan kepala bayi terhantuk dinding. Pernah berlaku di mana abang kepada bayi yang berumur dua tahun yang gemar menghayun buai tidak sedar kepala bayi sedang menghentak dinding.
Ada juga kes di mana rangka besi buai jatuh menghempap bayi dan juga spring atau tali putus.
Ada juga bahaya yang lain seperti tercekik atau strangulation. Bila bayi sudah mula memusing badan ia mungkin terjaga dari tidur, memusingkan mukanya ke bawah dan leher boleh tersepit dalam lipatan kain buai.
Hentak kepala (Head banging)
Apabila anak kita mula mengamalkan tabiat hentak/hantuk kepala, kita naik risau dan bimbang mungkinkah ia boleh menyebabkan kerosakan pada otak.
Dua puluh peratus daripada kanak-kanak yang sihat melalui tabiat ini seketika. Lazimnya, umur bermula setahun setengah dan berakhir secara spontan menjelang umur empat tahun.
Lelaki adalah tiga kali lebih kerap memperoleh tabiat ini daripada perempuan. Kanak-kanak yang berusia lebih empat tahun dan masih mempunyai tabiat ini haruslah dibawa menjalani pemeriksaan lanjut.
Selalunya, kanak-kanak meninggalkan tabiat ini dengan sendiri ketika membesar tetapi kita boleh cuba mempercepatkan proses ini dengan mengamalkan cara sambil lewa bila ia berlaku.
Tabiat ini menjadi satu cara kanak-kanak ‘mengugut’ untuk mendapatkan sesuatu atau menarik perhatian. Apabila ia berlaku, kita mesti jangan mengalah dan mengikut segala rentak dan kemahuan mereka.
Pada ketika ia berlaku, kita mesti cuba mengalihkan perhatian kanak-kanak tersebut dan mengubahnya ke aktiviti lain.
Mujurnya, kanak-kanak yang sihat tidak akan mengalami apa-apa kecederaan yang serius dengan tabiat ini.
Rasa kesakitan mengelakkan mereka dari menghentak dengan kuat dan kanak-kanak bawah tiga tahun tidak boleh menghasilkan tekanan atau tenaga yang cukup untuk mendapatkan kerosakan otak.
Kepala kanak-kanak ini boleh menahan trauma yang menjadi kebiasaan ketika belajar jalan dan memanjat. Kanak-kanak sihat yang menghantuk atau menghentakkan kepala akan membesar menjadi remaja yang normal.
* Jawapan disediakan oleh Pakar Perunding Kanak-Kanak, Hospital Pakar Shah Alam, Dr. Mohd. Nazir Abu Bakar.
Placenta Previa
Jika tidak dirawat boleh mengalami masalah kekurangan darah
Mengalami pendarahan ketika hamil adalah perkara menakutkan hingga menyebabkan sesetengah wanita trauma untuk mengandung lagi. Mereka bimbang perkara sama akan berulang kerana masalah ini boleh membahayakan nyawa ibu dan anak dalam kandungan.
Biasanya pendarahan ketika hamil berlaku pada trimester ketiga akibat kedudukan uri (yang sepatutnya di atas) terletak di bahagian bawah rahim iaitu berhampiran pangkal rahim. Keadaan ini dipanggil plasenta previa.
Tanda utama plasenta previa ialah pendarahan pada trimester ketiga. Keadaan pendarahan berbeza dari semasa ke semasa. Ada kalanya pendarahan hanya sedikit, tetapi ada waktunya ia boleh menjadi banyak sehingga membahayakan. Pendarahan ini boleh berlaku bila-bila masa dan lazimnya berulang selepas beberapa hari atau minggu.
Uri akan terbentuk apabila seseorang wanita hamil. Ia bertindak menjadi penghubung di antara bayi dengan sistem darah ibu yang membekalkan oksigen dan khasiat makanan kepada bayi dan akan keluar bersama apabila bayi dilahirkan.
Ia juga bertanggungjawab menyingkir bahan sisa daripada darah bayi. Uri melekat pada dinding rahim dan tali pusat bayi yang menjadi penghubung utama di antara ibu dan anak dalam kandungan.
Pada awal kehamilan, uri mungkin di bahagian bawah rahim. Apabila janin membesar, biasanya uri bergerak dan tertolak ke atas menjauhi pangkal rahim.
Kedudukan uri boleh dikesan melalui ujian imbasan bunyi yang dilakukan pada pemeriksaan prenatal anda. Doktor akan memberitahu jika uri terletak di bawah sebelum kandungan masuk minggu ke-20.
Bagaimanapun, ia keadaan biasa dan dalam kebanyakan kes (lebih 80 peratus), uri tertolak ke atas apabila kandungan semakin membesar. Hanya 10 hingga 15 peratus kes uri kekal di bawah. Masalah mula timbul apabila janin semakin besar (memasuki minggu ke-26) dan memberi tekanan kepada uri sehingga menyebabkan pendarahan.
Insiden kedudukan uri rendah adalah kecil iaitu hanya 0.5 peratus atau satu kes bagi setiap 200 kehamilan, tetapi risikonya sangat tinggi kerana pendarahan boleh menyebabkan ibu dan bayi mengalami masalah kekurangan darah (anemia).
Perunding Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr Fatima Najla Mohd Jaffar, berkata jika tidak diberikan rawatan segera, ibu dan bayi boleh menemui maut akibat kehilangan terlalu banyak darah.
“Wanita yang ada masalah plasenta previa boleh mengalami pendarahan vagina selepas kandungan memasuki minggu ke-28, tetapi ia tidak menyebabkan rasa sakit.
“Perkara ini membimbangkan kerana pendarahan boleh berlaku dengan banyak atau dipanggil tumpah darah dalam masa singkat. Malah, ia boleh berlaku bila-bila masa tanpa sebab.
“Jika tidak dirawat, pendarahan boleh menyebabkan ibu dan bayi mengalami masalah kekurangan darah. Ini sebabnya wanita yang disahkan ada masalah plasenta previa major perlu dimasukkan ke hospital sehingga bersalin,” katanya.
Bagaimana pendarahan boleh berlaku? Ia boleh berlaku apabila bahagian bawah rahim mula mengalami perubahan bentuk dan menjadi nipis sebagai persediaan untuk melahirkan anak.
Namun, oleh kerana uri tidak boleh meregang seperti rahim, ia merekah pada tempat tertentu lalu menyebabkan pendarahan. Pada peringkat awal, pendarahan biasanya sedikit tetapi ada risiko berlaku banyak pendarahan pada bila-bila masa tanpa tanda atau amaran. Pendarahan ini juga menyebabkan wanita menjadi pucat, berpeluh dan jantung berdegup cepat.
Punca, jenis dan faktor risiko
Sehingga kini tiada siapa tahu punca sebenar plasenta previa. Namun, ada hipotesis mengaitkan ia dengan salur darah tidak normal pada lapisan endometrium (dinding rahim) akibat pembedahan atau jangkitan. Malah, bentuk rahim tidak normal juga boleh menyebabkan plasenta previa.
Masalah ini boleh dibahagikan kepada empat peringkat iaitu:
- Jenis I atau uri rendah. Uri terletak pada bahagian paling bawah rahim (uterus) tetapi tidak sampai ke pangkal rahim.
- Jenis II atau pinggiran. Uri menyentuh bahagian atas pangkal rahim, tetapi tidak menutupinya. Bagaimanapun, kumpulan wanita yang ada masalah seperti ini masih perlu menjalani pemeriksaan dari semasa ke semasa.
- Jenis III atau separa. Uri menutup separuh pangkal rahim.
- Jenis IV atau lengkap. Uri menutup seluruh pangkal rahim.
Jenis I dan II dikenali sebagai plasenta previa minor, manakala jenis III dan IV dikelaskan sebagai plasenta previa major yang sering menyebabkan pendarahan membimbangkan.
Namun, bukan semua kes uri di bawah dipanggil plasenta previa. Jika kandungan kurang daripada 28 minggu, masalah ini dikategorikan sebagai uri rendah dan hanya selepas kandungan memasuki 28 minggu dan masalah ini berterusan baru ia dipanggil plasenta previa.
Komplikasi
Jika anda mengalami masalah plasenta previa, doktor akan memantau kesihatan anda dan bayi dalam kandungan untuk mengurangkan komplikasi seperti:
- Pendarahan yang banyak.
- Kelahiran pra matang (tidak cukup bulan).
- Kedudukan uri di bawah juga boleh menyebabkan kedudukan bayi menjadi tidak betul, sama ada menyongsang atau melintang, terutama bagi wanita yang mengalami plasenta previa major. Malah, masalah ini meningkatkan risiko wanita untuk mendapat masalah plasenta akreta.
- Plasenta akreta (uri tertanam dalam dinding rahim dan ia sukar tercabut secara semula jadi apabila bayi dilahirkan). Jika keadaan serius, doktor terpaksa menjalankan pembedahan pembuangan rahim untuk menyelamatkan nyawa ibu. Plasenta akreta tidak boleh dibiarkan kerana ia menyebabkan pendarahan berterusan selagi tidak dikeluarkan. Bagaimanapun keadaan ini jarang berlaku.
- Plasenta abruptio. Uri terpisah atau tercabut dari dinding rahim sebelum sampai waktu melahirkan anak. Ia boleh menyebabkan bayi mengalami kesesakan akibat ketiadaan bekalan oksigen dan nutrien. Malah, keadaan ini mengakibatkan pendarahan yang membahayakan nyawa ibu dan bayi. Walaupun ia boleh terjadi kepada wanita yang tiada masalah plasenta previa, masalah ini jarang berlaku.
Adakah ia membahayakan bayi anda?
Masalah uri rendah secara umumnya tidak mendatangkan bahaya pada bayi. Namun jika menyebabkan pendarahan, ia boleh mengakibatkan bayi turut mengalami masalah kekurangan darah.
Pendarahan boleh berlaku bila-bila masa bermula dari kandungan berusia 28 minggu hingga sebelum bersalin. Masalah ini juga boleh menyebabkan seseorang wanita terpaksa bersalin awal (tidak cukup bulan atau kurang 36 minggu).
Lebih membimbangkan, pendarahan banyak yang berlaku ketika kandungan kurang daripada 26 minggu boleh menyebabkan keguguran. Malah, si ibu boleh meninggal dunia jika dimasukkan ke hospital yang tiada bekalan darah.
Rawatan dan penjagaan bergantung kepada masalah dihadapi, sama ada pesakit perlu berehat di atas katil, memerlukan pemindahan darah atau menjalani pembedahan Caesarean. Bagi pendarahan akut (banyak dalam masa singkat), pesakit perlu dimasukkan ke hospital dan pemeriksaan rapi dilakukan untuk memastikan ia tidak berulang.
Malah, pesakit mungkin terpaksa menerima bekalan darah jika pendarahan terlalu banyak. Namun, dalam kebanyakan kes, di bawah pengawasan doktor, wanita boleh meneruskan kehamilan sehingga bayi cukup matang untuk dilahirkan.
Bagi wanita yang ada plasenta previa tetapi tidak mengalami pendarahan, mereka masih perlu berehat di hospital sehingga bayi cukup matang (antara 36 hingga 38 minggu kehamilan) untuk menjalani pembedahan.
“Wanita yang mengalami masalah ini dinasihatkan memilih hospital yang ada bank darah dan kelengkapan mencukupi. Wanita juga perlu memaklumkan doktor mengenai masalah yang dihadapi jika membuat pemeriksaan di tempat lain.
“Hospital akan menyimpan bekalan darah untuk pesakit dan memberi suntikan pada wanita yang pernah mengalami pendarahan. Suntikan ini diberikan sebelum minggu ke-34 kehamilan untuk mematangkan paru-paru bayi. Jika berlaku pendarahan lagi, doktor akan segera melakukan pembedahan Caesarean,” katanya.
Masalah plasenta previa bukan penghalang untuk anda mengandung lagi kerana tidak semestinya perkara ini berulang. Malah, anda juga boleh mendapat anak sihat dan comel seperti orang lain.
Namun Dr Fatima menyarankan wanita yang ada sejarah plasenta previa supaya menjarakkan kehamilan sekurang-kurangnya dua tahun. Justeru, persediaan minda penting. Cari maklumat lanjut mengenai masalah ini supaya anda faham dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk komplikasi serta rawatan yang ada.
Sebaik mengetahui anda mengandung, bincang dengan doktor mengenai langkah yang perlu anda lakukan untuk mengelak pendarahan. Anda juga mungkin terpaksa mengurangkan aktiviti seks atau mengelakkannya langsung jika berlaku pendarahan.
Kumpulan berisiko
- Terlalu kerap mengandung dan kehamilan yang terlalu rapat.
- Pernah menjalani pembedahan Caesarean ketika melahirkan anak terdahulu.
- Pernah menjalani pembedahan untuk membuang fibroid.
- Mempunyai luka pada rahim.
- Pernah menjalani dilation and curettage D & C (selepas menggugurkan anak) yang menyebabkan rahim luka dan berparut.
- Mengandung pada usia terlalu muda (belasan tahun) atau lewat (melebihi 35 tahun). Risiko bertambah tinggi dengan peningkatan umur.
- Pernah mengalami masalah plasenta previa pada kandungan terdahulu.
- Mengandung anak kembar.
- Merokok atau mengambil dadah.
Tips Pemilihan Baju Untuk Bayi (Umur 1 tahun ke atas)
Memilih pakaian yang ringkas.
Warna yang cerah.
Pilih baju mengikut keadaan atau cuaca.Contohnya jika cuaca tengah hari agak panas lebih elok pakaikan bayi anda dengan baju lengan pendek atau seluar.
Memilih pakaian bayi anda dari material kapas.Supaya bayi anda selesa.
Jika keluar rumah jangan lupa pakaikan topi dan stoking (baby tight) untuk anak anda. selain daripada nampak cantik ia blh melindungi bayi anda.
Pakaian Dipilih Menentukan Susuk Tubuh
Cara kita memilih pakaian amat penting untuk menentukan tubuh kita kelihatan kurus atau gemuk. Mugkin kadangkala anda tidak perasan atau tidak megambil berat soal corak pakaian yang anda beli atau pakai. Asalkan mata dan hati anda nampak cantik itu sudah memadai. Untuk ruangan tips kali ini busana2u ingin berkongsi dengan anda tentang corak pakaian pilihan
Kurus
· Haruslah memilih corak yang melintang.(Strike yang melintang)
· Pemilihan corak bunga yang besar untuk baju kurung.
Gempal
· Memilih corak yang menegak.(Strike yang menegak)
· Pemilihan corak bunga yang kecil untuk baju kurung.
· Pilih baju yang mempunyai “cutting” tetapi tidak ketat.
Merangsang Perkembangan Bayi
Bayi atau anak adalah anugerah yang tidak ternilai dalam sebuah kehidupan berumah tangga. Tugas seterusnya adalah merangsang perkembangan intelek (koginitf), emosi dan psikomotornya supaya bayi anda menjadi bayi yang genius.
BAYI BARU LAHIR HINGGA 6 BULAN
Bayi baru lahir mempunyai tahap kepekaan yang tinggi pada 2 jam pertama selepas kelahirannya. Oleh itu, ibu bapa perlu mengambil kesempatan ini bagi merangsang bayi dengan pelbagai teknik mudah seperti mana yang dibincangkan sebelum ini.
Belajar sambil bermain
Pada peringkat perkembangan 6 bulan pertama, bayi banyak belajar daripada persekitarannya terutama melalui interaksi antara anda dengannya. Satu perkara penting yang perlu diberi perhatian adalah bayi belajar melalui permainan.
Setiap kali anda bermain ataupun berinteraksi dengan bayi, anda sebenarnya mengajarnya lebih banyak perkara mengenai diri anda, dirinya sendiri dan persekitarannya.
Setiap aktiviti permainan mudah seperti menggoncangkan alatan yang berbunyi memberi kesan terhadap perkembangan derianya. Bayi belajar memfokus penglihatan dan pendengarannya terhadap objek berkenaan. Sekiranya aktiviti ini diulang-ulang, bayi akan belajar menggoncang alatan dan menyebabkan berlaku kebisingan.
Antara perkara yang boleh anda lakukan dalam �mengajar� bayi anda adalah:
. Lakukan aktiviti yang boleh merangsang 5 deria utama manusia iaitu penglihatan, pendengaran, rasa, bau dan sentuhan.
. Sentiasa memberi perhatian padanya melalui eye contact semasa bercakap dan bermain dengannya.
. Bantu perkembangan bahasa dan visualnya dengan menunjukkan padanya sesuatu objek nyata seperti botol, menerangkan padanya mengenai objek berkenaan dan sentuhkan tangannya ke objek itu.
. Ajarkan mengenai kepelbagaian emosi dengan menggayakan ataupun membuat mimik muka seperti gembira, sedih dan sebagainya.
. Perkenalkan kepelbagaian padanya dengan menunjukkan objek yang sama dalam warna dan bentuk berbeza ataupun menyanyi pelbagai lagu supaya bayi tidak mudah bosan.
. Beri respons terhadap sebarang pergerakannya. Contohnya sekiranya bayi menangis, dakaplah bayi dan sekiranya bayi tersenyum, senyum dan ketawa bersamanya. Ini akan memberi bayi keyakinan ia boleh mengawal persekitarannya.
Bayi baru lahir hingga 4 bulan
Pada peringkat ini, berikan peluang kepada bayi anda bagi meneroka persekitarannya menggunakan kekuatan ototnya. Perhatikan apabila bayi menangis, ia akan menggerak-gerakkan kakinya seperti menendang dan menggapai-gapaikan tangan-nya. Pergerakan ini sebenarnya adalah satu stimulasi dan kesan daripada aktiviti penerokaannya menggunakan ototnya.
Elakkan daripada terlalu melindunginya dengan sentiasa mendukungnya kerana ia membantutkan usaha penerokaannya. Letakkan bayi anda di atas lantai dan biarkan dia meneroka kekuatan kaki, tangan dan kepalanya. Sekiranya anda mampu, anda boleh menghiasi persekitaran penerokaannya dengan pelbagai permainan yang pelbagai warna dan corak. Hati-hati dengan barang permainan kerana dikhuatiri akan menjerut lehernya ataupun mengakibatkannya tercekik.
Antara aktiviti permainan mudah yang boleh anda lakukan dalam merangsang bayi anda adalah:
Gerakkan lidah anda ke luar dan ke dalam beberapa saat. Berikan sedikit masa kepada bayi anda meniru lagak anda.
Sentuh anggota badannya seperti menggeleteknya. Per-hatikan responsnya. Sekiranya bayi anda sudah belajar cara untuk senyum, anda akan dapat melihat senyuman di bibirnya.
Tambahkan pengalaman pembelajarannya dengan mem-bawanya keluar bersiar-siar di halaman rumah anda ataupun membawanya melawat pelbagai tempat di dalam rumah sendiri sama ada dapur, ruang tamu, bilik tidur dan sebagainya.
Bayi 4 bulan hingga 6 bulan
Pada peringkat ini, deria penglihatan bayi sensitif terhadap cahaya dan warna. Walaupun fokus penglihatannya masih belum membangun sepenuhnya, bayi mampu melihat dalam jarak yang dekat.
Koordinasi otot tangannya juga sedang berkembang pesat. Sesetengah bayi sudah mampu memegang objek tertentu di tangannya.
Pada masa inilah, anda seharusnya memperkenalkan padanya pelbagai tekstur objek sama ada licin, kesat dan sebagainya. Antara aktiviti yang boleh anda lakukan bersama bayi anda adalah:
. Galakan bayi menyentuh pelbagai jenis objek yang mempunyai pelbagai tekstur seperti kain sutera yang lembut, tuala, permaidani yang berbulu halus dan lembut, kotak dan sebagainya.
Jati Diri Muslim Cemerlang
Sekadar berkongsi
Jati Diri # 1: Utamakan Tanggungjawab
Semenjak dilahirkan, setiap manusia berpeluang untuk mendapatkan pelbagai hak yang dimilikinya. Hak untuk penyusuan, hak untuk mendapat pusaka, hak untuk ditahnik dan diaqiqahkan, hak untuk diberi nama yang baik, hak untuk mendapat penjagaan dan pendidikan yang sempurna serta pelbagai hak lain yang sentiasa bertambah seiring dengan pertambahan umurnya.
Manusia memang mempunyai banyak hak dan dia berhak untuk menuntut semua haknya, namun dalam usaha mengejar hak, manusia sering menjadi tamak, rakus dan mementingkan diri sendiri sehingga kadangkala dia tidak akan teragak-agak untuk menzalimi orang lain semata-mata untuk mendapatkan haknya. Manusia seakan terlupa bahawa di samping hak yang mereka miliki, mereka juga mempunyai pelbagai tugas dan tanggungjawab yang wajib ditunaikan. Bagi umat Islam, tugas utama mereka sebagai hamba Allah bukan untuk menuntut hak, tetapi apa yang lebih penting ialah menunaikan tanggungjawab sebagai seorang hamba. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
Maksudnya:
“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu”[1].
Dalam ayat ini Allah Subhanahu wa Ta’ala menjelaskan bahawa matlamat kejadian makhluk jin dan manusia ialah untuk menunaikan tanggungjawab pengabdian kepadaNya. Setiap muslim seharusnya sedar bahawa matlamat utama kehidupannya adalah semata-mata untuk menunaikan tanggungjawab beribadat kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan bukan untuk menuntut hak. Justeru seorang yang bersolat dituntut supaya membaca doa iftitah (doa pembuka solat), yang antara lainnya mengandungi firman Allah Subhanahu wa Ta’ala yang berikut:
Maksudnya:
Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekelian alam.
Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang sedemikian sahaja aku diperintahkan,
dan aku adalah orang Islam yang terawal (yang berserah diri
kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan mematuhi perintahnya)”[2].
Seorang muslim yang sejati akan menjadikan seluruh aktiviti kehidupannya sebagai manifestasi pengabdian kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala, kerana dia menyedari bahawa jika segala tanggungjawab itu ditunaikan dengan baik, maka dengan sendirinya akan tertunailah segala hak, tanpa perlu dituntut. Jika semua orang, baik lelaki atau wanita, tua atau muda, anak-anak atau ibubapa, pelajar atau guru, miskin atau kaya, majikan atau pekerja, rakyat atau pemerintah menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan jujur serta amanah, maka akan tertunailah segala hak tanpa perlu ada tuntutan dari mana-mana pihak. Tetapi malangnya, kebanyakan manusia hari ini hanya pandai menuntut hak mereka secara berlebihan, sedangkan pada masa yang sama mereka mengabaikan banyak tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka. Keadaan ini juga telah digambarkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melalui sabdanya:
Maksudnya:
“Akan berlaku sikap mementingkan diri sendiri
dan perkara-perkara yang kamu tidak sukai”.
Mereka (Sahabat) bertanya:
“Wahai Rasulullah! (jika berlaku demikian) apa perintah kamu kepada kami?”
Baginda menjawab: “Hendaklah kamu tunaikan tanggungjawab (yang diamanahkan) ke atas kamu dan kamu pohonlah hak kamu daripada Allah”[3].
Hadith ini juga dilihat sebagai satu lagi mukjizat ilmiah bagi Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam kerana ia menggambarkan perubahan sikap manusia pada akhir zaman yang lebih mementingkan diri sendiri dan hak mereka semata-mata, sehingga mereka lupa kepada tanggungjawab. Justeru, Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam menyarankan kepada umatnya supaya menghadapi situasi itu dengan cara menunaikan tanggungjawab masing-masing dan menyerahkan persoalan hak mereka kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala semata-mata. Sebagai generasi umat Islam yang terbaik, maka saranan Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam itu pantas dipatuhi oleh para Sahabat. Ketika Baginda memberikan suatu pemberian kepada Umar bin Al-Khattab radhiallahu ‘anh, dia (Umar) berkata:
Maksudnya:
“Berikannya kepada orang yang lebih berhajat daripadaku”[4].
Setiap muslim perlu mentarbiahkan diri mereka dengan sikap bertanggungjawab seperti yang ditunjukkan oleh Umar, supaya dengan sikap itu mereka boleh mengawal diri daripada membuat tuntutan lebih daripada menunaikan tanggungjawab. Setiap muslim tidak harus terlalu asyik dengan status ‘khalifah Allah’ yang sering didodoikan kepada mereka, sehingga terlupa bahawa mereka juga seorang ‘hamba Allah’ yang diamanahkan dengan pelbagai tanggungjawab. Setiap muslim tidak harus terlalu leka mengejar hak kebendaan sehingga terlupa bahawa mereka memikul pelbagai tanggungjawab keagamaan semenjak dari umur baligh sehinggalah ke akhir hayat. Setiap muslim tidak harus terlalu mementingkan diri sendiri sehingga terlupa bahawa gelaran mukallaf[5] yang mereka sandang itu menjadikan mereka bertanggungjawab bukan sahaja terhadap hubungan mereka dengan al-Khaliq tetapi juga terhadap hubungan mereka dengan sesama makhluk. Justeru, langkah pertama bagi pembinaan jati diri muslim perlu dimulai dengan memperbetulkan persepsi terhadap tanggungjawab pengabdian sebagai kemuncak bagi matlamat kehidupan.
Persediaan berhadapan kebakaran
Sekadar berkongsi
Tips Keselamatan Daripada kebakaran
KAWAT PENGUNGSIAN ISI RUMAH
1. Rancangan Pelan Menyelamat Diri
- Lukiskan pelan lantai rumah anda. Tunjukkan 2 laluan keluar selamat. Bincang dengan isi keluarga
- Lakukan rancangan dan dan bincangkan seisi keluarga di luar rumah
2. Sentiasa Bersedia
- Tunjukkan semua isi rumah, bunyi alat penggera asap
- Pastikan semua isi rumah mengetahui nombor telefon kecemasan 994 ( Lakukan dari rumah jiran )
- Tunjukkan semua isi rumah cara membuka tingkap dan jeriji
- Pastikan semua jalan keluar bebas daripada halangan
3. Pasang dan selenggarakan alat pengesan asap
- Pasang alat pengesan asap di rumah terutama dalam bilik tidur dan dapur
- Selenggara dan uji setiap bulan dengan membuat pembersihan
- Gantikan bateri pada setiap tahun atau jika perlu
- Gantikan alat setiap 10 tahun
4. Kekerapan latihan
- Berlatihlah setiap dua kali setahun Rancangan Pelan Menyelamat Diri. Lakukan dengan sebaik mungkin seperti kejadian sebenar.
- Jika tinggal di Apartment / Rumah Pangsa / Rumah Bertingkat
- Apabila terdengar loceng kecemasan, sila bertindak
- Ketahui laluan keluar yang selamat
- Gunakan tangga untuk menyelmat diri
- Jalan keluar yang dikunci atau dihalang, mestilah dilaporklan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
- Sentiasa patuh kepada arahan pengungsian
- Pihak pengurusan bertanggungjawab menampal rajah laluan selamat di setiap tingkat bangunan.
- Pastikan telefon bimbit sentiasa dibawa.
- Jika terperangkap, tutup semua laluan kemasukan asap dengan kain basah dan beri isyarat kepada umum, lokasi anda
- Anda dinasihatkan tidak untuk naik ke bumbung bangunan ‘ kecuali ‘ perlu.
5. Tip-Tip menyelamatkan diri
- Tutup semua pintu laluan, untuk melambatkan kemerebakan kebakaran dan asap
- Jika terpaksa bergerak dalam asap pastikan kepala anda 2 kaki dari aras lantai.
- Sebelum membuka pintu, rasa tombol atau daun pintu dengan belakang tangan, jika sejuk buka perlahan-lahan tetapi jika panas, gunakan pintu lain.
10 CARA MENCEGAH KEBAKARAN
- Keselamatan Di dapur Semasa memasak hendaklah memberi tumpuan sepenuhnya. Pastikan keadaan dapur bersih dan tidak berminyak. Jangan memasak dlama keadaan yang letih atau mengantuk
- Ruang alat pemanas Letakakan alat pemanas pada jarak 3 kaki atau satu meter daripada sebarang sebarang benda yang mudah terbakar.
- Perkakas Merokok Pastikan bekas abu rokkok yang digunakan besar dan lebar. Basahkan bekas tersebut sebelum digunakan kemudian jangan merokok ketika hendak tidur.
- Mancis dan Pemetik Api Pastikan bahan seperti mancis dan pemetik api disimpan ditempat yang selamat supaya dapat dielak daripada kanak-kanak
- Eelektrik Gantikan wayar yang telah rosak atau terpintal. Sentiasa peka terhadap barangan letirk yang digunakan seperti peralatan yang berbau, berasap dan terlampau panas
- Lilin Semasa menggunakan lilin pastikan ia jauh daripada benda yang mudah terbakar dan daripada tiupan angin LENGKAPKAN RUMAH ANDA DENGAN ALAT PENGESAN ASAP
- Alat Pengesan Asap Setiap rumah hendaklah dipasang sekurang-kurangnya satu unit alat pengesan asap.Keutamaan di ruang dapur disarankan, untuk memastikan keselamatan keluarga dan amatlah baik disyorkan agar disetiap bilik dipasang alat tersebut
- Sentiasa Membuat Pemeriksaan Periksa alat tersebut setiap bulan. Gantikan bateri setiap tahun sekali. Apabila alat pengesan ini berbunyi menandakan bateri sudah lemah dan perlu ditukar dengan segera. Tukarkan alat tersebut setiap 10 tahun sekali. Dapatkan yang mudah alih. TAHUKAN ANDA CARA MENYELAMAT DIRI JIKA BERLAKU KEBAKARAN ?
- Perancangan untuk melepaskan diri Pastikan setiap rumah mempunyai satu lakaran untuk melepaskan diri dari sebarang kebakaran, dengan itu sesiapa yang berada di dalam rumah mengetahui bagaimana hendak menyelamatkan diri semasa berlaku kebakaran.
- Merangkak di dalam asap Cara yang betul menyelamatkan diri daripada asap yang tebal, pertama cuba merangkak ke lantai dengan menggunakan kedua-dua tangan, siku dan lutut. Kedua, pastikan kepala anda 30-60 cm ( kurang daripada2 kaki ) dari aras lantai.










